sofyank vfx malaysia online

Sofyank Melonjak Nama Malaysia Sebagai Juara VFX

Kuala Lumpur: Pencipta kandungan digital VFX atau kesan visual, Mohamad Sofian Abdullah menyifatkan kemenangan dalam pertandingan Ultimate VFX Challenge – Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini, sebagai rezeki berganda yang tidak dijangka.

Pemuda asal Kelantan yang lebih dikenali sebagai Sofyank, 27, berkata, ia kerana impiannya untuk bertemu pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital, Zach King di negara itu tercapai sekali gus berjaya memenangi pertandingan itu.

Menurutnya, selain dirinya, dua lagi peserta turut menyertai pertandingan berkenaan iaitu Eva dari Belanda dan Brandon dari London yang disifatkan mempunyai kelebihan dan usaha masing-masing.

“Saya teruja ketika melakukan cabaran akhir iaitu menghasilkan satu video dalam masa empat jam. Saya menggunakan buah epal dan cermin sebagai alat peraga dan merakamnya di dapur saja.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut dan terharu apabila namanya diumumkan sebagai pemenang dan tidak menolak elemen kejutan apabila cermin bertukar menjadi kek yang memberi keterujuaan apa yang berlaku membawa pada kemenangan itu.

Katanya, sebaik menerima jemputan pertandingan itu, niat utamanya mahu mengambil peluang untuk bertemu Zach King di Los Angeles (LA) kerana sebelum ini pertemuan pertama mereka di Indonesia.

“Saya tidak terlalu memikirkan kemenangan dan menyertai pertandingan ini juga adalah pencapaian terbaik untuk saya.

“Alhamdulillah, rezeki saya kali ini dan boleh dianggap berganda kerana menang dan dapat merealisasikan impian bertemu Zach di LA,” katanya.

Sofyank berkata, dia menganggap dirinya sebagai wakil negara dalam menyertai pertandingan itu dan mengakui gembira dapat membawa sesuatu yang membanggakan nama negara dengan bakatnya itu.

Katanya, dia juga berterima kasih dan turut terharu menerima sokongan serta penghargaan daripada orang ramai termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya anggap kemenangan ini untuk semua orang yang selalu mengikuti dan menyokong video saya kerana bagi saya tanpa mereka saya tidak akan dikenali sehingga ke tahap ini, malah Zach juga tidak akan kenal saya.

“Saya juga mahu menzahirkan terima kasih kepada sahabat, Addeen dan Shafiq kerana mereka yang membantu saya sebelum berangkat ke LA untuk kami buat briefing (taklimat) idea,” katanya.

Sofyank, yang terkenal dengan bakat VFX sudah beberapa kali berkolaborasi dengan selebriti antarabangsa malah sehingga kini, video ciptaan beliau ditonton oleh jutaan pelayar media sosial.

Dia menyertai pertandingan yang dianjurkan Zach, baru-baru ini, bersaing dengan dua lagi peserta lain dengan mereka diberikan beberapa cabaran dan perlu menyiapkan satu karya pendek VFX.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *